"Tidak ada yang lebih baik bagi kedua pasangan yang berkasih ini melainkan mengakhirinya dengan perkahwinan" [maksud hadis]
25 Mei 2002. 11.30am
"Hello..abang kat mana nih?"
"Abang ada kat Karak nih. Lagi 2 jam sampailah"
"Oklah abang.. drive tu baik baik ok"
Si pengantin tau masih ada banyak untuk dia bersiap. Lepas Zuhur Mak Andam sampai. Dia call tunangnya untuk confirm. "Oh...abang dah sampai Shah Alam, takpe majlis lepas Asar, banyak masa lagi" Lepas Asar nanti boleh start make up...
"Allahu Akbar... Allahu Akbar...." Si Pengantin menunaikan solat Asar. Solat yang terakhir sebagai anak perempuan milik ibu bapanya. Selesai solat, dia berdoa pertama-tama untuk kesejahteraan ibu bapanya. Maghrib nanti....... solat pertama sebagai isteri, doanya nanti pertama-tama untuk suami.
"OK gi pakai baju tu, nanti kak make-upkan pulak." Si pengantin mengenakan baju kurung warna ungu. Hmm.. cantik. Menadah muka untuk dipalit warna2 yang tak pernah dikenakan sebelum ini. "pakai tudung pulak, pakai sendirilah ye, nanti kak betulkan" Pandang ke cermin, "eh.. lainnya muka aku"
Siap semua. Sekeping dua gambar buat kenangan. Duduk di birai katil diteman sahabat handai.
"Senyum sikit... pengantin dah sampai tu" Suara Mak Andam mengejutkan Si Pengantin daripada lamunan.
"Ya Allah... aku dah jadi isteri orang. berkatilah perjalanan hidupku yang baru ni Ya Allah" Si Pengantin rasa sebak... dia bukan milik ibu bapanya lagi, ditahan air mata agar jangan tumpah.
"Assalammualaikum...."
"Waalaikumsalam"
" Ha...serahkan duit mas kahwin tuh..pakaikan gelang ngan cincin tuh..." Pengantin hanya mengikut suruhan. Senyum bila bertentang mata.
"Pengantin pompuan.. salam suami tuh cium tangan dia..." Dicium tangan suami, ibu mengesat air mata gembira.
"OK.... cium isteri tu.. tak payah malu-malu kan dah dapat lesen" Kucupan di dahi dan debaran di hati. Tetamu dimuka pintu mengusik nakal. Pengantin berdua hanya mampu senyum... penuh makna.
Naik ke singgahsana, kali pertama. Berdebar dada. Wakil pengantin mengalu-alukan rombongan. Disambut pihak sebelah. Termetra sudah ikatan yang sah, hubungan dua keluarga harap terjalin indah. Bergilir mereka menepung tawar tanda berkenalan, tanda restu.
Sesi bergambar bersama keluarga. Klik, klik, klik, "mari bergambar dengan pengantin, mana mak ayah pengantin?" sibuk sekali juru gambar menjalankan tugas. Pengantin perempuan terasa sebak, dipandangnya ibu berjalan perlahan untuk mengabadikan kenangan. Kalaulah ayah ada waktu ini, tentu lebih meriah, tentu ibu berjalan dengan senyuman yang lebih manis.
"Abang balik dulu, nanti lepas isyak kita jumpa lagi". Si isteri cuma tersenyum, terasa malu... pelik..
25 Mei 2002. 9.00pm
Malam berinai dah tiba, Selepas solat maghrib, tangan mak andam rancak menarikan warna, si pengantin yang tak pernah kenal alat solek hanya menurut arahan. Baju biru pilihan malam ini... cantik. Kepala berkerudung, dihias mahkota dan net putih. Hampir tak kenal wajah sendiri bila melihat cermin.
Pengantin berdua didudukkan di singgahsana. Ditepung tawar tanda restu saudara mara. Tetamu menghulur salam mengucap tahniah. Masih pelik rasanya duduk berdua ditenung puluhan mata.
"Selamat Pengantin Baru, semoga kekal selamanya"
Waktu menginjak pantas, majlis masih berlangsung. Klik, klik, klik lagi. Berbagai gaya disuruh juru gambar. Biarlah, sekali seumur hidup. selesai acara, harus tidur, esok hari besar, jangan mata merah pula pesan mak andam. Pengantin perempuan tidur bersama adik bongsu permata hatinya yang sedari pagi tadi seolah merajuk. Takut kakaknya yang seorang ni dibawa pergi.
26 Mei 2002. 2.00pm
Penat masih terasa dek majlis semalam, namun pengantin masih tersenyum. Hari besar kata ibu. "Senyumlah, biar cerita baik yang mereka bawa pulang"
Mendung hari ini, harap-harap tak hujan. Pengantin mula bersiap, baju ungu untuk hari besar. Warna pilihan pengantin sekarang mereka kata. Duduk menanti di dalam bilik, sahabat handai, saudara mara masuk mengucap tahniah.. sambil-sambil bertanya itu ini, modal bercerita agaknya.
Kompang dipukul tanda rombongan lelaki dah tiba. Pengantin perempuan dibawa keluar. Nampak kekok bertumit tinggi. Merah muka ditenung tetamu dan keluarga suami. Bergandingan tangan berjalan ke singgahsana. "kenapa sejuk tangan?" "berdebar" jawapan ringkas.
"Cantik pengantin.....biasalah..orang tak pernah make up memang naik seri bila disolek" Pengantin yang mendengar bersyukur dia tak salah memilih Mak Andam.
Kali ketiga bersanding, debaran semakin kurang. Deretan barang hantaran di depan pelamin dijeling. Menarik. tetamu datang dan pergi, menepung tawar tanda restu. Tiba giliran ibu, ciuman dikiri kanan pipi tanda kasih tak berpenghujung. Abang dan adik, tulang belakang majlis pengganti ayah menepung tawar. "jaga adik abang ni elok-elok" pesan abang pada adik iparnya yang baru. Pengantin perempuan menahan air mata agar jangan nampak dek tetamu. Selesai bersanding, acara makan beradap pula.
"Abang.....dah penat lah..sakit pinggang ni ha" Pengantin berbisik ke suaminya.
"Sabarlah ayang..dah adat..kita ikut ajalah"
Tengahari menginjak petang, pengantin masih tersenyum melayan tetamu, bersalaman dengan sanak saudara di depan, di dalam rumah, di dapur memperkenalkan suaminya. Tetamu semakin surut tanda majlis akan berakhir. Azan kedengaran, masa untuk bertukar pakaian. Habis tempoh menjadi raja sehari.
Solat berjemaah yang pertama untuk mereka. Indahnya... Doa suami diaminkan isteri. Bekal langkah pertama ke alam perkahwinan.
"Ya Allah, Kau suburkanlah mawaddah dan rahmah antara kami, berkatilah perkahwinan kami Ya Allah"
25 Mei 2003
Memori majlis setahun lepas masih segar di ingatan. Mana mungkin aku lupakan saat itu. Perancangan yang dibuat berjalan lancar alhamdulillah.
Setahun berlalu dengan pantas. Setahun aku meniti alam baru ini. Setahun yang indah disisi orang yang aku sayangi. Ya.. kalau ditanya bulan madu di mana, jawapan ku dimana2 manapun, bila2 masa pun aku masih berbulan madu, sampai saat ini.
Sedangkan lidah lagi tergigit. Marah dan rajuk pasti ada.. tapi itu boleh diketepikan. Boleh diselesaikan. Aku kan cuma manusia yang mencuba yang terbaik untuk keluarga. Aku akan terus mencuba untuk jadi isteri terbaik buat abang.. sebagai kawan dan kekasih insyaallah.
Doakan kebahagiaan kami keakhirnya....
No comments:
Post a Comment