Thursday, October 10, 2002


Semalam aku baca entry Rudy pasal masyarakat Jawa. Aku pun jadi terpanggil untuk menulis perkara yang sama. Ada perbezaan yang dapat aku tengok antara jawa Johor dan Selangor, Jawa Banting dan Jawa Klang. Well..mak aku jawa begelen dan ayah aku bugis. Tapi aku bersyukur aku boleh bertutur dalam bahasa jawa. Dalam masyarakat jawa seperti kata Rudy, ada kenduri perkahwinan, lenggang perut, cukur rambut, menyambut Ramadhan dan memberi juadah pada malam raya. Aku akan cuba beri info yang aku tau ler. Here goes...

Kenduri Kahwin ialah KONDANGAN.

Biasanya 3 hari 3 malam (aku sangat penat masa kenduri aku dulu) dan kengkadang tetamu kan datang samapi seminggu lepas tuh sebeb menghormati jemputan.

Adat yang aku rasa unik ialah pengantin akan membaca selawat dan mencium bayi dan kanak2. kalau tak pun, kaum ibu biasanya akan meminta bedak pengantin (apa jua jenis boleh digunakan) untuk dibawa balik (mesti diberi sendiri oleh pengantin). Adat ini dikatakan dapat mengelak sawan pengantin.

Alat musik tradisional jawa iaitu CEMPULING biasa dimainkan. Kadang2 ada kompang jawa (kat kompang tuh ada cam loceng).

Makanan yang dihidangkan biasanya
1. KOCI (tepung pulut atau keledek atau labu berinti kelapa).
2. LEMPER (pulut berinti serunding yang dikukus).
3. JENANG KERISIK (lebih kurang dodol tapi dibuat daripada beras pulut yang dikisar)
4. TUMPI (cam rempeyek tapi guna kacang hijau atau kacang dal)
5. RENGGINANG (keropok daripada pulut)
Itu antara yang biasalah. kalau lauk pauk pulak, lebih kurang sama cam orang melayu cuma kadang kadang ada PECAL (sayur2 celur dimakan dengan kuah kacang) atau SAMBAL TEMPE.

Biasanya hari Isnin lepas kondangan, tuan rumah akan masak sejenis bubur yang dipanggil BUBUR SUM SUM. Bubur ni dibuat daripada tepung beras yang dimasak ngan santan. Bila dah sejuk dimakan bersama air gula merah. Sekali tengok cam tau foo fa yang biasa kat pasar tuh. BUBUR SUM SUM nih akan dihantar kerumah saudara mara yang datang menolong masa kenduri kahwin semalamnya. BUBUR ni tanda penutup majlis.

Kenduri Lenggang Perut ialah MITONI.

Bila kandungan pertama berusia 7 bulan, satu kenduri kesyukuran akan diadakan. Aku nak menambah sikit info yang diberi Rudy. tujuh dalam bahasa jawa ialah PITU, ketujuh ialah PITUNG dan MITONI maksudnya lebih kurang munujuh (nak masuk tujuh). Kenduri kat tempat aku lebih kurang seperti yang dijelaskan dalam bluehikari cuma adalah sedikit perbezaan.

Emak kata zaman dulu banyak adat yang kena diikut. Suami isteri akan bersanding semula, ditabur beras kunyit dan kemudian dililit benang 7 kali. Pasangan akan disiram dan mereka akan merentap benang sehingga putus lepas bersiram. Yang lelaki selamat dah, isteri masih akan melalui beberapa upacara. Lepas bersalin pakaian, isteri tadi akan menyalin kain (biasanya batik) sebanyak 7 kali. & helai kain batik ni biasanya diberi pada mak bidan lepas majlis selesai. Setiap helai kain menunjukkan setiap bulan. Sebiji kelapa kuning (gading) akan dilalukan dari arah atas dan disambut dibawah (dalam kain tadi) oleh mak bidan dan pembantunya. Adat ini katanya untuk mudahkan bersalin. Lepas tuh, mak bidan akan mengurut bakal ibu ini barulah habis upacara. Sekarang dah tak dibuat adat2 nih.

Kemudian, kenduri doa selamat diadakan. Dalam kenduri ni selain bacaan biasa, Surah Taubah juga dibaca. Makanan yang disediakanpun berbeza. Biasanya kalau ayah bawak balik berkat, aku tau dia pergi kenduri apa. Biasanya mereka sediakan
1. LEPET (pulut dimasukkan dalam daun kelapa, adalah cara mengikatnya, dan direbus dengan santan)
2. KETUPAT NASI (sama cam raya)
3. Segala jenis ubi yang direbus (ubi, keledek, labu, keladi etc).
4. JAJAN PASAR (biskut2 saiz kecil yang manis)
Semua nih dibawa balik tetamu. Masa kenduri biasanya makan nasik ler.

Kenduri Cukur Rambut ialah MUPUTI

Rasanya tak ada beza ngan jawa Banting. masa aku kecik2 aku suka ikut ayah pegi kenduri nih sbb lepas majlis selesai tuan rumah akan tabur duit syiling yang dicampur ngan bunga rampai. Oh yer..bila aku besar aku tau ayah balik dari MUPUTI kalau dia bawak balik bunga telur yang ditambah duit (dulu 20 sen sekarang dah naik ikut kemampuan) dan bunga rampai. Bunga telur KONDANGAN cuma ada bunga dan telur je.

Biasanya kumpulam marhaban akan dijemput. Bayi akan dipakaikan celak, dibalut dengan kain songket dan dibawa mengelilingi tetamu untuk dipotong sedikit rambutnya. Rambut tu dimasukkan dalam kelapa gading dan ditanam keesokan harinya. Kadang2 ibu bapa bayi nih buat aqiqah sekali.

Kenduri Sambut Ramadhan ialah UNGGAHAN

Aku rasa sama jer kenduri nih dimana mana pun. Kalau kat tempat aku biasanya 3 4 rumah akan berkongsi buat sekali, supaya tak terbeban jemputan yang datang. UNGGAHAN nih termasuk kenduri arwah. Kadang2 ada keluarga yang tak berapa mampu nak buat kenduri akan minta qariah masjid bacakan tahlil. Mereka akan supply makanan untuk jemaah hari tuh.

Memberi Juadah pada Malam Raya ialah MONJONG.

Biasanya malam raya emak tak masak apa2, cuma masak juadah untuk esok, ketupat, rendang, kuah kacang etc. Kenapa emak tak masak? sbb jiran tetangga akan memberi juadah. Kami akan berbalas juadah tapi kan, yang diterima dan diberi sama jer...ketupat dsb. Tak pe, yang penting semangat kejiranan tuh. Dulu-dulu juadah diletak atas dulang dan dijunjung ke rumah sebelah, PONJONG bermaksud junjung. MONJONG bermaksug menjunjung.tu lah asal nama tradisi nih. Tradisi nih masih diamalkan kat tempat aku. Cuma sekarang dah pakai plastik bag jer...jadi menjeng dah ahaks..sbb dijinjing jer juadah tuh. Jangan tersalah sebut PENJONG...maksudnya berkemban.

Malam raya juga bebudak tak main meriam dah, tapi nanti start pukul 4 ke 5 pagi mulalah hingar bingar kampung dek letupan meriam. Bagus jugak, kejutkan orang awal buat persiapan. Malam raya juga biasanya ada konvoi bertakbir raya. Kengkadang meraka singgah rumah dan bertakbir. Tuan rumah bagiler minum kopi.

Berkonvoi di hari raya ialah BARAAN

BARAAN nih sekarang ni dah jarang diamalkan. Kat Sabak Bernam masih ada rasanya. Dah moden nih orang lebih suka NGLENCER (beraya cam biasa). Baraan nih biasanya ikut qariah masjidler. Raya kedua kaum lelaki dan raya ketiga kaum wanita. katalah aku ikut konvoi nih jadi mereka akan kerumah aku, pastu aku akan ikut pulak kerumah yang lain..sampailah habis semua. Biasanya santak ke petanglah.

Masa raya ni aku paling tunggu masa nak makan KOLANG KALING (buah kabung dibuat manisan). Aku akan target rumah sedara mara yang sediakan juadah nih. Kalau agak rapat aku mintak bawak balik ihiks..Ada warna merah, oren, hijau etc. Memang sedapler. Kengkadang ada SAGON (aku tak tau nak describe camner..). Ada LONTONG yang asli, bukan nasi impit dalam kuah lemak :P Lambatnya raya....heheh

Yang dapat aku simpulkan, semua bancaan (kenduri) masyarakat jawa nih memupuk semangan kekeluargaan dan kejiranan. Semua makanan dimasak sendiri. NASI AMBENGlah yang biasanya dihidang untuk tetamu. Zaman sekarang ni ada juga keluarga yang lebih selesa bagi BERKAT (nasi dan lauk pauk siap dibungkus). Yang dijemput tak akan menghampakan yang menjemput. kalau tak datang...susahlah sikit orang nak datang majlis kita nanti.

Ituler serba sedikit yang dapat aku kongsi. Kalau nak ikut banyak lagi. Lain kali aku citer ek.

No comments: