Friday, November 08, 2002

Makan apa untuk berbuka?
Pergi terawih ke tidak?
Esok nak masak apa untuk sahur?
Antara soalan yang emak tanya masa aku call dia malam tadi. Tahun ni makin kurang umat di rumah tu. Aku di sini, adik aku dah kerja di Johor Baharu. Tinggal abang ngan adik bongsu jer meneman emak. Minggu depan aku nak balik. Nak berbuka puasa ngan emak. Nak rasa masakan emak. Walau emak goreng telur untuk berbuka, tetap sedap aku rasa. Rindunya dengan pelukan dia, kelembutan emak mengejut kami bersahur. Kesabaran emak dengan kerenah anak2nya masa puasa. Aku ingat, aku nak makan ni, abang aku nak makan itu, adik aku nak makan yang lain pulak. Emak tetap buat semua walaupun bukan pada hari yang sama. Aku nak jadi sesabar emak..insyaallah.

Tahun ni kali kedua puasa tanpa ayah. Aku tau emak rindukan ayah. Ayah kembali kepangkuanNya pada 12 syawal. Ayah pergi dalam pelukan emak. Tak ada setitis pun air mata emak tumpah masa tu. tiada setitis pun tumpah masa jenazah ayah diuruskan. Tiada setitis pun tumpah masa kenduri. Tiada setitis pun tumpah waktu melawat pusaranya syawal lepas. "Mak, kalau mak rasa sedih..menangislah mak, jangan pendam, nanti mak tertekan." aku suarakan pada emak
"Apa akan jadi pada anak2 mak kalau mak tak kuat. Mak kena kuat untuk anak2 mak. Noni kecil lagi, dia takkan faham kalau tengok mak menangis" Aku cuma mampu mengangguk. Aku lihat kekuatan emak dalam keredupan matanya. Tapi aku tau emak sedih, lebih sedih daripada kami. beberapa kali aku dengar esakan emak. Mungkin emak ingat aku dah lena masa tu. Aku juga tau dengan kedatangan ramadhan kali ni emak akan rindu lagi. Aku juga tau emak takkan tunjukkan depan kami. Aku nak jadi sekuat emak...insyaallah.

Aku berkira kira nak belikan emak sepasang kasut baru untuk raya. Kasut yang aku belikan sebelum ni hilang katanya. Dia sayang sangat kasut tu. Hatta adik aku nak pakai pun dihalangnya.
"Kasut yang * * belikan utk mak tu hilanglah, kat rumah orang, mak pergi kenduri kahwin"
"Takpelah mak, kasut jer"
"Kasut tu anak mak yang bagi, mahal pulak tu. kalau mak beli sendiri mak tak kisah sangat"
"Takpe mak, nanti ada rezeki *** belikan yang lain ye..bukan rezeki kita nak buat camne"
Nak menitis air mata aku. Emak sayangkan anak2nya. Hargai setiap pemberian anaknya. Emak marah kalau aku belikan barang yang padanya mahal. Membazir katanya. Aku rasa kalau aku himpunkan segunung intan berlian pun takkan sama, takkan semahal apa yang dah diberinya pada aku. AKu nak jadi seperihatin emak...insyaallah.

Emak tanya pasal kuih raya. Masa ayah ada dulu, dia yang buat kuih raya. Bila ayah semakin uzur, ayah beri duit untuk beli. Masa tu kami semua belajar lagi. Bila ayah dah tiada, kami beli juga, pakat kumpul duit adik beradik. Tahun ni buat camtu juga rasanya. Nak mintak abang ngan adik aku beli 3 4 jenis sorang. Cukuplah. Persiapan lain aku tak risau sangat sebab kakak ipar aku ada. Alhamdulillah.

Noni...adik aku yang bongsu. Permata hati aku. Emak kata aku jaga Noni macam jaga anak. Aku suka budak2 sebenarnya. Lagi pulak jarak umur 17 tahun. Buat aku manjakan Noni. Dah 9 tahun umurnya. Manja tetap tak berubah. Abang kena mengalah kalau aku balik kampung. Noni akan tidur dengan aku. Aku latih dia puasa sejak awal. Tahun lepas penuh puasa dia. Aku belikan kasut, tudung dan bagi duit habuan yang aku janjikan. Jangan harap dia nak puasa kalau orang lain yang suruh. Noni..Noni, cepat betul besar. Kak rasa taknak bagi Noni besar je. Semalam masa borak dengan emak, terdengar suaranya kecoh nak bercakap.
"Kak *** bila nak balik sini?..Noni rindu"
"Nantilah, minggu depan Kak *** balik" aku cakap.
"Nanti belikan Noni coklat ye.." satu habit aku yang dah jadi habit dia, suka sangat makan coklat.
"Ye lah..nanti Kak *** beli"
Aku sambung borak ngan emak. Aku cakap kat emak, kan banyak coklat kat kedai kampung tuh. Mintak coklat jer ngan aku.
"Dia nak dari tangan *** jer. Beli kat mana tuh tak pe" emak cakap.
Dan aku tau jangan harap dia akan bagi orang lain makan. Dia akan berkayuh ke kedai, beli coklat yang sama untuk diberikannya pada orang lain. Yang aku bagi, dia sorang makan. Aku VIP, kalau mintak dia bagi.
Ada sebab aku manjakan dia. Dia terlalu kecil untuk memahami keadaan. Aku tak mahu dia rasa susah yang kami adik beradik rasa. Biarlah dia senang, happy. Dia faham ayah dah tiada, dia tak faham kenapa ayah dia pergi awal sangat.
"Kak ***, kenapa ayah Noni meninggal cepat. Ayah kawan2 Noni tak meningggal pun. Kawan2 Noni pun darjah 3 jugak."
"Allah sayang sangat kat ayah. Sebab tu Dia ambil ayah"
"oo..Allah tak sayang ayah kawan2 Nonilah ye. Padan muka diaorang"
"Sayang jugak, cuma Allah belum panggil je. noni sayang ayah tak?"
"Sayang"
"Kalau sayang, Noni kena jadi budak baik, dengar cakap emak, lepas sembahyang Noni baca Alhamdulillah untuk ayah"
Dia angguk dan sambung makan coklat.
Aku berdoa agar Noni jadi insan yang berguna bila besar nanti. Macam doa yang selalu emak panjatkan untuk kami.

Puasa kali ni aku janjikan habuan untuk permata hati aku ni. Aku janjikan RM 100 kalau penuh puasa. Kalau tak penuh aku bagi 3 ringgit sehari. Emak kata bersemangat betul dia. Penat berlari pun taknak buka puasa.

Aku mengimbau kenangan bila bercerita pasal keluarga. Satu entiti yang amat penting dalam hidup aku. Yang mencorak peribadi aku sekarang. Aku tak dapat bayangkan hidup tanpa mereka. Sayang emak...





No comments: