Wednesday, July 02, 2003

Diari Emak

Aku sempat luangkan masa 2 hari di kampung.. dah dekat 2 bulan tak balik aku rasa banyak sangat perubahan yang berlaku. tak perlah... bagus juga untuk penduduk kampung. Jalan utama masuk ke kampung aku dah ada traffic light, bukan jalan pekan tau, jalan kampung. nanti aku ambil gambar :)

Hari Sabtu, lepas solat subuh aku lepak kat luar rumah, memandang ke timur, melihat, merenung ufuk... indahnya Ya Allah. Aku terkesima seketika, berfikir betapa selama ni aku tak pernah ambil kesempatan untuk melihat keindahan ciptaan Allah. Lama aku berteleku... aku bersyukur.. dipanjangkan umur sehari lagi.

Menjelang petang aku menolong emak mengemas rumah. Tinggal berdua dengan Noni, dengan tanggungjawab umpama pekerja nursery emak tak berkesempatan mengemas katanya. Aku disuruh mengemas dan membuang buku2 yang dah tak diperlukan. Kebanyakannya buku latihan dan kertas ujian kami adik beradik masa sekolah dulu. Satu persatu kotak aku keluarkan dari bawah katil. Kerja yang sepatutnya boleh habis dalam sejam masih tak habis menjelang maghrib. Aku mengemas sambil membelek....

Membelek helaian kertas lama persis membuka semula buku memori. Setiap tulisan ada makna. Setiap buku adalah lambang penitian aku untuk sampai ke tahap sekarang, lambang perit jerih emak dan ayah menyekolahkan aku. Aku tatap, aku selak helaian demi helaian.. aku tertawa sendiri mengingat zaman persekolahan dulu.

Lepas maghrib..aku masih membelek. Emak suruh buangkan, aku kata nanti dulu.. aku nak tengok kalau ada apa2 yang berguna untuk pengajaran. Dalam satu kotak yang paling dalam aku jumpa beberapa diari lama. Diari emak. Emak simpan diari juga? Tahun 1983... itu yang paling lama. Dah kuning pun mukasurat. Yang paling baru... tahun 2002.Hm...menarik. Apalah agaknya yang emak tulis...
"Emak... lin jumpa diari lama emak, boleh lin baca?"
"bacalah.. diari lama emak tu..semua cerita lama, saja emak tulis kot kot nak ingat tarikh penting"
Aku tak sabar nak tengok, apa agaknya yang ditulis emak dalam diari2nya.

Aku selak helaian demi helaian, diari demi diari. Aku tersentuh, aku dapat selami perasaan emak masa menulis. Aku sangka akan jumpa catatan harian sebagaimana yang aku tulis sekarang. Emak rupanya menulis tentang anak-anaknya. Perkembangan hidup anak-anaknya... emak menulis tentang kehidupan anak-anaknya. Emak catat semua peristiwa penting yang dilalui anak-anaknya. Pahit manis emak membesarkan cahayamatanya penuh mengisi dada diari2 emak. Aku baca semuanya. Aku dapat menyusuri perjalanan hidup aku sedari awal mengenal dunia. Indah rasanya.

Lin mula bersekolah
Lin naik darjah, naik tingkatan
Lin dapat nombor berapa, dapat hadiah apa
Lin masuk UIA
Lin dapat biasiswa, beri emak RM***
Lin balik bercuti
Lin balik asrama
Lin dah ada pakwe
Lin susah hati, tak nak makan
Lin grad
Lin bertunang
Lin pindah Pahang
Lin kahwin

Itu antara yang emak tulis. Antara isi pentingnya sahaja kalau aku merujuk pada tarikh tertentu. Emak juga tulis tentang perasaanya berhadapan dengan kerenah anak2. Emak seperti dapat menyelami perasaan sedih aku dalam sesetengah entrynya. Emak seolah memberikan semua kebahagiaannya pada aku dan menyimpan semua kedukaan aku dalam sesetengah entrynya. Aku dapat mengimbau kembali emosi dan perasaan aku, aku dapat nilai betapa aku telah berubah dari masa ke semasa. Betapa masa lalu banyak mencorakkan cara aku berfikir.

Aku pun nak mulakan diari... nak bercerita tentang aku, tentang perasaan aku, tentang orang sekeliling aku. Ya... hanya untuk aku... mana tahu ada rezeki, boleh aku jadikan cerita untuk modal menulis autobiografi atau memoir.... mana tahu kan...


No comments: